Honda Sustaina-C dan Honda Pocket Concept – kelahiran semula City Turbo dan Motocompo versi EV!
Selain dari model konsep Prelude, Honda turut bermain dengan hati dan perasaan peminatnya di Japan Mobility Show tahun ini menerusi satu lagi model konsep retro yang dijana teknologi elektrik – ini dia Honda Sustaina-C dan Honda Pocket Concept yang dihasilkan dari inspirasi model City hatchback generasi pertama dengan skuter lipat Honda Motocompo!
Bagi yang belum mengetahui, Honda City Hatchback generasi pertama muncul pada tahun 1981 dan ia menawarkan varian berprestasi dengan enjin 1.0 liter turbo yang dikenali sebagai City Turbo. Apa yang lebih menarik selain rupanya yang comel, City ini turut ditawarkan dengan opsyen sebuah skuter kecil dengan enjin 49 cc digelar Honda Motocompo yang boleh dilipat dan diletakkan pada ruangan khas dalam but belakang.
Ideanya, anda boleh meletakkan City ini pada satu tempat parkir, kemudian anda boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang sesak menggunakan Motocompo berkenaan.
Idea yang sama ditampilkan pada Honda Sustaina-C dan Honda Pocket Concept yang didedahkan hari ini. Selain dari rupa Honda Sustaina-C yang jelas mengambil inspirasi City Turbo 1981, ia turut disertakan dengan skuter lipat Honda Pocket Concept yang turut boleh dilipat diletak dalam but belakang!
Apa yang berlainan, sudah tentulah kedua-dua model kelahiran semula ini dijana oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya. Namun Honda tidak mendedahkan sebarang spesifikasi teknikal seperti konfigurasi motor, kuasa dan tork, kapasiti bateri dan sebagainya.
Namun Honda mendakwa kedua-dua model konsep ini adalah lebih mesra alam dari EV biasa kerana panel-panel badannya diperbuat dari resin akrilik yang dikitar serta diguna semula, yang Honda sifatkan sebagai “mendemonstrasikan konsep mengatasi kekangan ketersediaan sumber yang terhad melalui ‘peredaran sumber’ serta mampu mencapai kemampanan alam sekitar dan kegembiraan dalam kebebasan mobiliti untuk masa hadapan.”